Saturday, April 16, 2022

HADIS 2

 

HADIS 2

 

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، قَالَ: أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ المُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنَّ الحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ يَأْتِيكَ الوَحْيُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الجَرَسِ، وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ، فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ، وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِيَ المَلَكُ رَجُلًا فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ» قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَنْزِلُ عَلَيْهِ الوَحْيُ فِي اليَوْمِ الشَّدِيدِ البَرْدِ، فَيَفْصِمُ عَنْهُ وَإِنَّ جَبِينَهُ لَيَتَفَصَّدُ عَرَقًا

 

Daripada Aisyah bahawa al-Haris bin Hisham bertanya Rasulullah saw. Dia berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana wahyu datang kepada kamu? Jawab Rasulullah: kadangkala ia datang kepadaku seperti gemercingan loceng—ia amat dahsyat terhadap aku. Lalu ia diam dariku, dan aku pun disedarkan darinya apa yang dia perkatakan. Dan kadangkala malaikat menyerupai seseorang lelaki. Dia bercakap denganku, aku pun sedar apa yang dia perkatakan.

 

Aisyah berkata: sesungguhnya aku melihat sendiri ketika wahyu turun kepada Nabi pada suatu haria yang teramat sejuk. Nabi terdiam sejenak, dan dahi nabi keluar peluh.

 

PENJELASAN HADIS

 

[1] hadis ini mengkisahkan bahawa adik kepada Abu Jahal, iaitu al-Haris bin Hisham berbual dengan Aisyah. Dalam perbuatan tersebut, al-Haris menyebut bahawa dia pernah bertanya Nabi saw berkenaan cara baginda menerima wahyu. Makanya, nabi saw memberikan penjelasan bahawa cara Nabi saw dapat wahyu itu adalah seperti berikut;

 

A.                  Kadangkala ia datang seperti bunyi loceng, bahkan lebih berat dari itu lagi. Kemudian terhenti, lalu datang wahyu kepada Nabi.

B.                  Kadangkala ia datang Jibril datang berupa manusia dan bercakap seperti manusia lain.

 

Mendengar penjelasan al-Haris itu, Aisyah pun bercerita pengalaman peribadi Aisyah bahawa dia sendiri melihat bagaimana Nabi saw menerima wahyu dengan cara (A); iaitu, Aisyah nampak Nabi saw berpeluh, walhal ketika itu waktu terlalu sejuk. Ketika Nabi saw dapat wahyu, nabi berhenti segala pergerakannya.

 

[2] Dalam hadis, disebut bahawa datang Jibril itu SEPERTI BUNYI GEMERINCING LOCENG; ada ulama jelaskan bahawa ia merujuk kepada bunyi sayap Jibril. Ia sebagai isyarat bahawa Jibril datang sebelum disampaikan wahyu kepada Nabi.

 

[3] Pada perkataan فيكلمني, terdapat dalam riwayat lain (al-Baihaqi dari jalur al-Qa’nabi) digunakan perkataan فيعلمني. Namun, didapati yang tepat adalah فيكلمني sedangkan lafaz فيعلمني  adalah TASHIF, kerana terdapat dalam AL-MUWATTA’ yang ambil hadis dari AL-QA’NABI juga; dalam muwatta’ itu digunakan lafaz فيكلمني.

 

[4] Aisyah bercerita bahawa dia pernah lihat sendiri bahawa Nabi saw semasa menerima wahyu, kelihatan baginda berpeluh, walhal ketika itu keadaan amat sejuk. Hal ini menggambarkan betapa dahsyat dan bebannya penerimaan terhadap wahyu.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis pertama, dijelaskan keikhlasan dalam segala perbuatan kita.

 

Hadis ke-2 pula, dijelaskan berkenaan cara wahyu sampai kepada Nabi saw.

 

Seakan-akan Imam al-Bukhari mahu menjelaskan bahawa kepentingan hati yang bersih untuk layak terima wahyu dari Allah.

 

PENGAJARAN

 

[1] CARA DAPAT WAHYU

 

Ada beberapa cara:

a.                  Mimpi.

 

Kisah Nabi Ibrahim bermimpi sembelih anaknya:

 

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ (102) – الصافات

 

Nabi saw bermimpi untuk buat Haji pada tahun 6 hijrah.

 

b.                  Jibril datang dengan rupanya yang sebenar.

 

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِيَّ، قَالَ: وَهُوَ يُحَدِّثُ عَنْ فَتْرَةِ الوَحْيِ فَقَالَ فِي حَدِيثِهِ: " بَيْنَا أَنَا أَمْشِي إِذْ سَمِعْتُ صَوْتًا مِنَ السَّمَاءِ، فَرَفَعْتُ بَصَرِي، فَإِذَا المَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ جَالِسٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَرُعِبْتُ مِنْهُ، فَرَجَعْتُ فَقُلْتُ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي " فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ. قُمْ فَأَنْذِرْ} [المدثر: 2] إِلَى قَوْلِهِ {وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ} [المدثر: 5]

“Jabir bin Abdullah Al-Ansari bertutur mengenai jangka masa (turunnya) wahyu, sebagaimana yang Rasulullah saw ceritakan:  "Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar suara dari langit, lalu aku memandang ke arahnya dan ternyata ada malaikat yang pernah datang kepadaku di gua Hiro, ia sedang duduk di atas kursi antara langit dan bumi. Aku pun ketakutan dan pulang, dan berkata: "Selimuti aku. Selimuti aku". Maka Allah menurunkan wahyu: (Wahai orang yang berselimut, bergegaslah dan beri peringatan) sampai firman Allah (dan berhala-berhala tinggalkanlah). Sejak saat itu wahyu terus turun berkesinambungan” (al-Bukhari, hadis no: 4)

 

c.                   Jibril datang seperti bisikan.

 

Hadis Bab.

 

d.                  Jibril datang berupa dengan manusia.

 

[2] MALAIKAT BOLEH BERUPA MANUSIA

 

Hadis ini menjadi dalil bahawa Malaikat boleh berupa dengan manusia. Antara dalil-dalil lain adalah seperti berikut;

 

Hadis Jibril—Daripada Umar bin al-Khattab berkata:

 

بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ، إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ، حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ، وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنِ الْإِسْلَام ......

“Ketika kami di sisi Rasulullah pada suatu hari, tiba-tiba timbul seseorang lelaki kepada kami yang putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya—tidak kelihatan langsung tanda-tanda bermusafir. Seorang pun dari kalangan kami tidak mengenalinya. Hingga dia duduk kepada Nabi, dia sandarkan dua lututnya dengan kepada dua lutut Nabi, dia letakkan dua tapak tangannya pada dua peha Nabi. Dia pun berkata: Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku berkenaan Islam……” (al-Bukhari, hadis no: 8)

 

[3] SYAITAN BOLEH BERUPA MANUSIA

 

Daripada Abu Hurairah, Nabi saw ada bersabda:

 

سَمُّوا بِاسْمِي وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Berikan nama dengan namaku, jangan kamu memberi gelaran dengan gelaranku. Barangsiapa yang dapat lihat aku dalam mimpi, sesungguhnya dia melihatku. Hal ini kerana syaitan tidak dapat berupa dengan gambaran aku. Barangsiapa yang  melakukan dusta terhadapku, dia menempah satu tempat tinggal dalam neraka” (al-Bukhari, hadis no: 6197)

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[5] ABDULLAH BIN YUSUF (218H)

عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ

 

Nama penuhnya adalah ABU MUHAMMAD ABDULLAH BIN YUSUF AL-KILA’IE AL-DIMASYQI AL-MISRI AL-TINNISI.

 

Dia berasal dari DAMSYIQ, kemudian berhijrah ke al-TINNIS, iaitu salah satu tempat di mesir dan meninggal di situ.

 

Al-Imam al-Bukhari menyatakan bahawa dia antara perawi syam yang amat sabat. Yahya Bin Ma’in pula kata, dia adalah perawi yang paling siqah dalam kitab al-Muwatta’.

 

Dia adalah guru Imam al-Bukhari serta Rijal Abi Daud, al-Tarmizi dan al-Nasaie. Dia adalah perawi siqah lagi sahih.

 

[4] MALIK BIN ANAS (93H-179H)

مَالِكٍ بن انس

 

Pengasas Mazhab Maliki. Dilahirkan di Madinah dan mati di tempat yang sama.

 

Atuknya bernama MALIK BIN ABI ‘AMIR AL-ASBUHI AL-HIMYARI; seorang tabiin yang ada meriwayatkan hadis dari Omar bin al-Khattab, Osman bin Affan, Talhah bin Ubaidullah, Aisyah, Abu Hurairah, Hassan bin Sabit, ‘Aqil bin Abi Talib dan sebagainya.

 

Moyangnya bernama ABU ‘AMIR NAFI’ BIN AMRU yang al-Qadhi Bakar bin al-‘Ala’ al-Qusyairi menyatakan bahawa dia salah seorang saahabt Rasulullah saw yang terlibat semua peperangan kecuali perang Badar sahaja.

 

Ada pula dakwaan lain kata, moyangnya bukan sahabat, tetapi MUKHDARAM; dia sampai di Madinah selepas Nabi saw sudah wafat.

 

Imam Malik mempunyai empat orang anak, iaitu Yahya, Muhammad, Hammad dan Fatimah.

 

Imam Malik terkenal sebagai seorang yang terkenal dengan kealiman dalam bidang hadis dan fiqh. Terkenal juga dengan kekuatan hafalan dan kebijaksaaan.

 

Ia adalah pengarang kitab AL-MUWATTA’ yang merupakan kitab hadis yang paling sahih sebelum penulisan kitab hadis.

 

Al-Imam al-Syafie pernah berkata:

 

ما بعد كتاب الله تعالى كتابٌ أكثرُ صواباً من موطأ مالك

“Kitab yang paling benar selepas al-Quran adalah Muwatta’ Malik”

 

Guru hadis yang paling lama dia belajar adalah Nafi’, iaitu bekas hamba kepada Abdullah bin Umar yang sanad Nafi’ adalah dari bekas tuannya itu.

 

Dia mengajar hadis di masjid Nabawi. Bahkan, turut mengeluarkan fatwa-fatwa fiqh di situ.

 

Imam Malik antara ulama yang teramat berhati-hati dalam memberikan fatwa kerana bimbang tersalah dalam fatwa. Ekoran itu, semasa dia memulakan jawapan dari seorang fiqh, dia akan mulakan dengan menyebut:

 

ما شاء الله لا قوة إلا بالله

Dan dia sering menjawab: “Aku tidak tahu”, dalam banyak jawapan-jawapan dari persoalan fiqh yang dibangkitkan kepadanya.

 

Dalam periwayatan hadis, dia amat tegas dari perawi ahli Bid’ah. Dengan sebab itu, tidak riwayat dari syiah dari beliau.

 

Sebelum meninggal dunia, dia sakit selama 22 hari. Jenazah dia dikebumikan di Baqi’, dan turut menunaikan solat jenazahnya adalah gabenor Madinah, Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim.

 

[3] HISHAM BIN URWAH (61H-146H)

هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ

 

 Dia adalah cucu kepada Sahabat Nabi yang terkenal, iaitu al-Zubair bin al-Awwam. Dengan kata lain, dia adalah anak saudara kepada sahabat Nabi yang bernama ABDULLAH BIN ZUBAIR.

 

Bapanya adalah URWAH BIN AL-ZUBAIR adalah perawi yang paling banyak riwayatkan hadis Aisyah. Dan dia mendengar hadis juga dari bapanya.

Isterinya adalah FATIMAH BINTI AL-MUNZIR BIN AL-ZUBAIR BIN AL-AWWAM, yang asalnya adalah sepupunya sendiri.

 

Hisham terkenal dengan alim dalam bidang fiqh dan hadis. semasa dia kecil, Ibn Umar pernah usap kepalanya dan mendoakan kepadanya.

 

Dia dilahirkan di Madinah serta banyak masa di situ. Selepas itu, dia berhijrah ke Baghdad dan meninggal dunia di situ.

 

Khalifah Abu Ja’far al-Mansur antara yang solat jenazahnya.

 

Dia dikebumikan di tanah perkuburan AL-KHIZRAN (tempat itu dinamakan al-Khizran kerana sempena kepada nama isteri kepada ibu kepada Khalifah Harun al-Rashid bernama AL-KHIZRAN BINTI ‘ATA’ yang berada di kota الأعظمية iaitu kota yang dinisbahkan kepada Imam Abu Hanifah yang dia dikebumikan di situ)

 

Terdapat beberapa TAJRIH terhadapnya adalah seperti berikut;

 

Kata Yaaqub bin Syaibah, dia siqah dan diterima riwayatnya kecuali selepas dia berhijrah ke Iraq. Antaranya selelepas hijrah, dia selalu mursalkan hadis dari bapanya.

 

Imam Malik tidak ambil hadis dia andai yang ambil dari dia itu adalah penduduk Iraq. Kata Imam Malik lagi, dia ke Kufah sebanyak tiga kali. Semenjak di sana, dia selalu cakap “TELAH MENCERITAKAN KEPADAKU BAPAKU” dan “AKU MENDENGAR AISYAH”. Pada kali ke-2, dia kata: “TELAH MENGKHABARKAN KEPADAKU BAPAKU, DARIPADA AISYAH” Pergi pada kali ke-3: “BAPAKU DARIPADA AISYAH” (mursal dari bapanya)

 

Al-Zahabi juga kata, semasa umurnya tua, hafalannya semakin teruk.

 

Dalam erti kata lain, dia adalah perawi ikhtilat yang batasan riwayatnya tidak boleh diterima semenjak dia hijrah ke Baghdad.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah dan seorang perawi siqah lagi sahih. Namun, riwayatnya tidak diterima jika hadis yang dia riwayatkan itu semasa dia berada di baghdad.

 

[2] ‘URWAH BIN AL-ZUBAIR BIN AL-AWWAM (23H-94H)

 عُرْوَةَ بن الزبير بن العوام

 

Dia adalah anak kepada Asma’ binti Abi Bakar al-Siddiq, dan bapanya adalah sahabat Nabi yang terkenal, iaitu al-Zubair bin al-Awwam. Dalam erti kata lain, dia adalah cucu Abu Bakar al-Siddiq.

 

Dia adalah adik kepada Abdullah bin al-Zubair. Dia tidak sempat berjumpa dengan nabi, berbeza dengan abangnya.

 

Aisyah adalah ibu saudaranya. Dia dianggap antara perawi yang paling banyak mengetahui hadis-hadis dari Aisyah.

 

Dia dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia di mekah. Dia adalah salah mahaguru fiqh di Madinah sehingga digelar sebagai Fuqaha’ al-Sab’ah.

 

Dia terkenal dengan ahli ibadat sehingga diriwayatkan bahawa dia membaca al-Quran sehari sebanyak ¼ al-Quran. Dia sering berpuasa sehingga ketika hampir dengan waktu kematiannya pun dia masih berpuasa.

 

Kealimannya dalam bidang hadis dan fiqh diakui ramai. Terutama Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

 

ما أجد أعلم من عروة بن الزبير، وما أعلمه يعلم شيئًا أجهله

“Aku tidak dapati ada orang yang lebih alim berbanding Urwah bin al-Zubair. Aku tidak tahu sebarang ilmu yang dia jahil”

 

[1] AISYAH BINTI ABI BAKAR AL-SIDDIQ (19SH-58H)

عائشة بنت ابي بكر الصديق

 

Dia adalah Isteri Nabi yang ketiga, iaitu berkahwin dengan nabi pada bulan syawal tahun ke 2 hijrah, iaitu selepas Perang badar—sebelum itu, nabi kahwin dengan Saudah binti Zam’ah (Suami awalnya SAKRAN BIN AMRU, mati setelah pulang dari Habsyah, iaitu sebelum hijrah ke Madinah-nabi kahwininya tahun 10 kenabian. Namun, al-Zahabi kata, Saudah kahwin dengan nabi pada tahun Nabi berkahwin dengan Aisyah.

 

Aisyah dilahirkan di mekah dan meninggal di Madinah.

 

Bapanya adalah Sahabat Nabi yang terkenal, iaitu Abu Bakar al-Siddiq, sedangkan ibunya bernama UMMU RUMMAN BINTI ‘AMIR.

 

Adik beradik seibu sebapa dia adalah Abdul Rahman. Adik beradik sebapa, Asma’ (Ibunya: Qutailah), Abdullah (ibunya: Qutailah), Muhammad (ibunya: Asma’ binti Umais), Ummi Kalsum (ibunya: Habibah binti Kharijah)

 

Tarikh lahirnya, berlaku khilaf dalam kalangan ulama. Ada kata, 4 tahun sebelum hijrah (kiraan melihat kepada riwayat Bukhari muslim berkenaan umur nikahnya dengan nabi)

 

ABU NUAIM AL-ASBAHANI (336H-430H) kata, Aisyah dilahirkan dalam 10 hingga 16 tahun sebelum hijrah (kiraan dengan melihat umur Asma’ binti Abi Bakar hijrah, umur 27 tahun)

 

Berlaku kekhilafan dalam status umur Aisyah kahwin dengan Nabi. Perbahasannya adalah seperti berikut;

 

Beberapa fakta yang disebut oleh al-Zahabi seperti berikut:

 

a.                  Asma’ binti Abi Bakar beza umur dengan Aisyah adalah lebih 10 tahun.

b.                  Asma’ meninggal tahun 73H.

c.                   Asma’ meninggal umur 100 tahun.

 

Berdasarkan fakta yang disebut oleh al-Zahabi ini, bermakna, semasa Hijrah, umur Asma’ 27 Tahun. Ini bermakna, umur Aisyah semasa hijrah adalah 17 tahun. Kemudian, perkahwinan Aisyah selepas dari perang badar, sedangkan perang badar tercetus tahun kedua dari hijrah. Bermakna, ketika itu umur Aisyah semasa kahwin dengan Nabi saw bukan 6 tahun, tetapi 19 tahun lebih.

 

Ini satu-satunya isteri yang nabi nikahi yang dia belum pernah berkahwin.

 

Aisyah tidak dikurniakan seorang anak pun, tetapi mendapat gelaran UMMU ABDILLAH, sebab anak saudaranya bernama ABDULLAH BIN ZUBAIR (anak Asma’)

 

Al-Bukhari (kitab Jihad) menyatakan bahawa Aisyah terlibat dalam perang Uhud, sebagai membantu rawat orang luka.

 

Dalam catatan sejarah, dia terlibat perang melawan Saidina Ali dikenali PERANG JAMAL.

 

Nabi wafat di rumah Aisyah, ketika itu dihadiri oleh adik Aisyah bernama Abdul Rahman dan selepas bersugi.

 

[1] SAHABAT: AL-HARIS BIN HISHAM (15H)

 الحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ

 

Nama penuhnya adalah AL-HARIS BIN HISHAM BIN AL-MUGHIRAH AL-QURASHI AL-MAKHZUMI. Dia adalah adik beradik dengan Abu Jahal seibu sebapa.

 

Ibunya bernama UMMU AL-JALLAS ASMA’ BINTI MUKHARRIBAH BIN JANDAL AL-TAMIMIYYAH.

 

Dia memeluk islam semasa Fath Makkah. Diceritakan bahawa dia mahu dibunuh oleh Saidina Ali. Makanya, dia meminta jaminan keamanan dari kakak Saidina Ali, iaitu UMMU HANI’. Imam Malik pula kata, perempuan yang memberi jaminan keamanan itu bukan UMMU HANI, tetapi HUBAIRAH BINTI ABI HUBAIRAH.

 

Selepas dia memeluk islam, dia menjadi seorang muslim yang baik sehinggakan dia terlibat dalam perang Hunain (10 Syawal 8H) bersama dengan Nabi, lalu nabi saw memberikan harta ghanimah kepadanya sebanyak 100 ekor unta sepertimana Nabi memberi zakat kepada muallaf al-Qulub.

 

Selepas kewafatan Nabi, dia antara orang yang terlibat dalam sejarah pembukaan Syam.

 

Selepas dia memeluk islam, dia tinggal di Mekah sehingga Nabi saw wafat.

 

Semasa tercetus perang terhadap Rom di era pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, AL-HARIS bersama dengan IKRIMAH BIN ABI JAHAL DAN SUHAIL BIN AMRU berjumpa dengan ABU BAKAR di Madinah. Abu Bakar ke rumah mereka untuk ajak terlibat dalam perang. Mereka pun terlibat dengan perang itu menuju ke SYAM yang ketika itu di bawah taklukan Rom.

 

Dia meninggal dalam medan perang Yarmuk (Jordan) pada tahun 15 Hijrah. Dia pernah sampai ke Mekah dan Syam. Ada riwayat lain kata, dia meninggal dunia disebabkan penyakit taun amwas pada tahun 17 hijrah.

 

No comments:

Post a Comment

HADIS 6

  HADIS 6   حَدَّثَنَا عَبْدَانُ ، قَالَ: أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ قَالَ: أَخْبَرَنَا يُونُسُ ، عَنِ الزُّهْرِيِّ ، ح و...