|
BAB 1 |
بَابُ بَدْءِ
الوَحْيِ
قَالَ
الشَّيْخُ الْإِمَامُ الْحَافِظُ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ مُحَمَّدُ بْنُ
إِسْمَاعِيلَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ الْمُغِيرَةِ الْبُخَارِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ
تَعَالَى آمِينَ: كَيْفَ كَانَ بَدْءُ الوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟
Berkata
al-Syaikh al-Imam al-Hafiz Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin
al-Mughirah al-Bukhari: bagaimana permulaan bagi wahyu kepada Rasulullah saw?
Firman
Allah:
وَقَوْلُ
اللَّهِ جَلَّ ذِكْرُهُ: {إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى
نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ} [النساء: 163]
“Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai
Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan
Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya” (Surah al-Nisa’, ayat 163)
|
HADIS 1 |
حَدَّثَنَا
الحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ، قَالَ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ،
قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الأَنْصَارِيُّ، قَالَ: أَخْبَرَنِي
مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ، أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ، يَقُولُ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ
عَنْهُ عَلَى المِنْبَرِ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ
امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوْ
إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ»
"Semua perbuatan tergantung pada niatnya, dan
(balasan) bagi setiap orang (tergantung) apa yang diniatkan; Barangsiapa niat
hijrahnya kerana dunia yang ingin dicapainya atau kerana seorang perempuan yang
ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa dia diniatkan"
|
PENJELASAN HADIS |
[1] Imam al-Bukhari memulakan hadis dengan menyebut
berkenaan khutbah saidina Umar. Ibn Hajar menyatakan, memandangkan kandungan
hadis menyebut bahawa Saidina Umar menyampaikan khutbah, maka ia memberi
isyarat secara tidak langsung bahawa hadis ini sebagai khutbah bagi kitab.
Menurut al-Muhallab pula, kandungan hadis ini, disebut
oleh Nabi saw mula-mula sampai di Madinah. Hal ini dapat diketahui melalui
matan hadis yang menyebut: فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ
إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى
مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ—yang hadis ini ada kaitan dengan seorang
lelaki yang berhijrah kerana mahu berkahwin dengan seorang muslimat bernama
UMMU AL-QAIS sehingga lelaki itu dikenali sebagai MUHAJIR UMM AL-QAIS. (ada riwayat
kata, nama sebenarnya adalah QAILAH قيلة)
Dengan
itu, munasabah disandarkan hadis ini sebagai permulaan bagi kitab.
[2]
Ibn Hajar al-Asqalani menulilkan penjelasan Ibn Battal bahawa menjadi kebiasaan bagi masyarakat
arab bahawa mereka tidak akan kahwinkan hamba-hamba wanita dari kalangan arab
dengan bangsa lain. Mereka anggap, bangsa lain tidak sekufu dengan bangsa
mereka.
Namun dengan kedatangan islam, agama itu telah ajar
bahawa konsep kufu tidak dilihat dari sudut bangsa. Orang bangsa selain arab,
boleh sahaja menikahi hamba wanita dari bangsa arab. Dengan itu, ramai dari
kalangan mereka berhijrah ke Madinah untuk berkahwin dengan hamba-hamba
perempuan berbangsa arab.
[3] hadis ini menjelaskan bahawa Selepas kewafatan
Nabi, ada satu hari bahawa Saidina Umar berkhutbah jumaat. Dalam khutbah itu,
Saidina Umar menyebut berkenaan satu kejadian ketika Hijrah bahawa ada seorang
lelaki berhijrah bersama dengan nabi untuk menikahi seorang perempuan yang
bernama Umm al-Qais. Dengan itu Nabi saw menyebut hadis ini.
[4] Dalam hadis ini, nabi saw menyebut berkenaan hal
berikut;
PERTAMA: Amal berdasarkan niat.
KEDUA: manusia akan menjuruskan sesuatu perbuatan
berdasarkan kepada niatnya.
KETIGA: nabi umpamakan dengan manusia berhijrah. Ada
yang berhijrah kerana mahu mencari peluang perniagaan. Ada yang berhijrah sebab
mahu bernikah. Bahkan, terdapat dalam kalangan sahabat yang berhijrah kerana
keikhlasan hatinya kepada Allah.
[5] Dalam riwayat lain, ada sedikit penambahan berikut:
فَمَنْ كَانَتْ
هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ، وَإِلَى رَسُولِهِ، فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ،
وَإِلَى رَسُولِهِ
“barangsiapa
yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu untuk Allah dan
RasulNya” (al-Bukhari, hadis no: 54 | ibn Majah, hadis no: 4227(
[6] Dalam riwayat lain, digunakan perkataan mufrad pada
perkataan NIAT, sedangkan dalam riwayat ini digunakan lafaz jamak (termasuk
juga Ibn Majah, hadis no: 4227).
الأَعْمَالُ
بِالنِّيَّةِ
“Amalan-amalan dengan niat” (al-Bukhari,
hadis no: 54)
|
PENGAJARAN |
[1] MAKNA NIAT
Niat dilihat dalam dua maksud:
a.
Keikhlasan dalam beribadat.
Keikhlasan merupakan salah satu perkara utama dalam
memastikan ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah di akhirat kelak.
Hal ini terdapat banyak hadis. Antaranya adalah
seperti berikut;
Pertama, hadis—daripada Abu Musa al-As’ari;
جَاءَ رَجُلٌ
إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ،
مَا القِتَالُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَإِنَّ أَحَدَنَا يُقَاتِلُ غَضَبًا،
وَيُقَاتِلُ حَمِيَّةً، فَرَفَعَ إِلَيْهِ رَأْسَهُ، قَالَ: وَمَا رَفَعَ إِلَيْهِ
رَأْسَهُ إِلَّا أَنَّهُ كَانَ قَائِمًا، فَقَالَ: «مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ
كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ»
"Seorang lelaki datang menemui Nabi saw dan bertanya:
"Wahai Rasulullah, apakah yang disebut dengan perang fi sabilillah (di
jalan Allah)? Sebab di antara kami ada yang berperang kerana marah dan ada yang
karena semangat?" Baginda lalu mengangkat kepalanya ke arah orang yang
bertanya, dan tidaklah baginda angkat kepalanya kecuali kerana orang yang
bertanya itu berdiri. Baginda lalu menjawab: "Barangsiapa berperang untuk
meninggikan kalimat Allah, maka dia perperang di jalan Allah" (al-Bukhari,
hadis no: 123(
Kedua, hadis—daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa Nabi saw ada bersabda:
وَرُبَّ قَتِيلٍ
بَيْنَ الصَّفَّيْنِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِنِيَّتِهِ
“berapa ramai orang yang terbunuh antara dua saf (barisan yang
berperang), Allah sahaja lebih mengetahui niatnya” (Ibn Abi Syaibah, hadis no: 403(
Ketiga, hadis—daripada Ubbadah bin al-Somit bahawa
Nabi saw bersabda:
مَنْ غَزا فِي
سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَنْوِي إِلَّا عِقَالًا فَلَهُ مَا نَوَى
“Mereka
yang berperang di jalan Allah, dia tidak niatkan kecuali tali pengikat kuda,
maka baginya apa yang dia niatkan”
b.
Berhasrat mahu melakukan sesuatu perkara.
Ini yang menjadi perbahasan dalam kalangan ulama,
apakah ia adalah wajib berlafaz atau tidak? Apakah ia perlu diawal perbuatan,
ataupun berazam juga diterima?
[2] TEMPAT NIAT ADALAH HATI
Ia adalah penentu sesuatu amalan badan itu baik atau
buruk. Dalam hadis—daripada Nu’man bin Basyir bahawa Nabi saw bersabda:
أَلاَ وَإِنَّ
فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ
فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ
“Ketahuilah, sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada
seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baik seluruh jasadnya. Jika
buruk, maka buruk seluruh jasadnya. Ketahuilah daging itu adalah hati”
(al-Bukhari, hadis no: 52(
[3] HIJRAH SEBAGAI MAS KAHWIN
Dalam hadis ini menyebut berkenaan kisah orang yang
mahu berhijrah, tetapi mas kahwin yang diminta oleh wanita itu adalah hijrah.
Ia dijawab oleh Nabi sebagai:
فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا
هَاجَرَ إِلَيْهِ
“Hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan”.
Ini menjadi dalil bahawa mas kahwin dengan hijrah
adalah boleh. Demikian juga, dibolehkan mas kahwin dengan memeluk agama islam.
Dalam hadis—daripada Anas bin Malik berkata:
تَزَوَّجَ
أَبُو طَلْحَةَ أُمَّ سُلَيْمٍ، فَكَانَ صِدَاقُ مَا بَيْنَهُمَا الْإِسْلَامَ،
أَسْلَمَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ قَبْلَ أَبِي طَلْحَةَ، فَخَطَبَهَا، فَقَالَتْ: إِنِّي
قَدْ أَسْلَمْتُ، فَإِنْ أَسْلَمْتَ نَكَحْتُكَ، فَأَسْلَمَ فَكَانَ صِدَاقَ مَا
بَيْنَهُمَا
“Abu talhah berkahwin dengan Ummu Sulaim. Mas kahwin antara
keduanya adalah islam. Ummu Sulaim telah Islam terlebih dahulu berbanding Abu
Talhah. Abu Talhah telah meminang Ummu Sulaim, dan Ummu Sulaim pun berkata: Aku
telah islam. Jika kamu islam, aku nikahi kamu. Lalu Abu Talhah pun Islam, dan itu
adalah mas kahwin mereka berdua” (al-Nasaie, hadis no: 3340(
|
BIOGRAFI PERAWI |
[6] AL-HUMAIDI ABDULLAH BIN AL-ZUBAIR (219H)
الحُمَيْدِيُّ
عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ
Nama dia adalah ABU BAKAR ABDULLAH BIN AL-ZUBAIR BIN
ISA. Dipanggil dengan AL-HUMAIDI kerana nisbah kepada keturunan ASAD BIN ABDUL
UZZA BIN QUSOI dari satu individu yang bernama HUMAID BIN OSAMAH. Keturunan ini mempunyai hubungan keluarga
dengan Khadijah binti Khuwailid dari keturunan ASAD. Juga mempunyai hubungan
keluarga Nabi saw dari keturunan QUSAYY.
Al-Humaidi adalah seorang ulama besar. Dia adalah
teman baik Imam al-Syafie semasa menuntut ilmu.
Dia adalah seorang ulama yang faqih dari kalangan
masyarakat Quraish.
Dia meninggal di Mekah. Dia pernah sampai di mesir.
Semasa dia mula-mula sampai di mesir, dia dapati seorang ulama besar di mesir
bernama SA’ID BIN MANSUR mengajar di Masjid Mesir. Ramai murid-muridnya dari
kalangan orang khurasan dan orang Iraq. Dia duduk dalam majlis ilmu tersebut.
Dia pernah berkata bahawa dia belajar dengan Sufyan
bin Uyaynah selama 20 tahun.
Dia adalah guru Imam al-Bukhari serta Rijal
al-Tarmizi. Imam Muslim ada menyebut namanya di muqaddimah Muslim, dan Abu Daud
pula riwayatkan darinya secara ta’liq sahaja.
[5] SUFYAN BIN UYAYNAH
سُفْيَان بن عيينة
Dilahirkan di Kufah, kemudian berhijrah ke Mekah dan meninggal
di situ. Mula belajar hadis sewaktu umur 12 tahun.
Imam Syafie pernah memuji dengan berkata:
لولا مالك
وسفيان لذهب علم الحجاز
“kalau tidak kerana malik dan Sufyan, sudah pasti
tidak ada ilmu di hijaz”
Ada pihak menyatakan bahawa dia seorang mudallis.
Tetapi, menurut ramai ulama hadia seperti Abu al-Fath al-Azdi, al-Asqalanu dan
al-Bazzar bahawa mudallis Sufyan bin Uyaynah boleh diterima kerana dia tidak
akan mudallis kecuali dari perawi siqah.
Ahmad bin Hanbal ada berkata, semua hadis riwayat Sufyan
tidak menjadi sebarang masalah kecuali jika dia riwayatkan hadis penduduk hijaz
dan kufah dalam beberapa hal. Seakan-akan Ahmad memberitahu, riwayat Sufyan
dari penduduk Kufah dan Hijaz ini tidak terus diterima dan ditolak, tetapi
perlu diteliti terlebih dahulu.
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa di akhir
umurnya dia ada ikhtilat yang menurut Muhammad bin Ammar al-Musili, ia berlaku
dalam lingkungan tahun 97H. Namun begitu, Ibn Hajar akui bahawa dia siqah,
hafiz serta faqih.
Dia bukan sekadar dihormati dalam kalangan ulama
sunni, bahkan turut dihormati oleh ulama-ulama syiah sehingga dianggap sebagai
Ashab al-Imam Ja’far al-Sodiq.
Dia adalah salah seorang dari Rijal Kutub al-Sittah
[4] YAHYA BIN SA’ID AL-ANSARI (69H-143H)
يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ
الأَنْصَارِيُّ
Dia adalah Tabiin kecil. Atuknya bernama QAIS BIN AMRU
adalah sahabat Nabi.
Dia adalah murid kepada Fuqaha’ sab’ah (tujuh ulama
fiqh Madinah pada era tabiin). Dia mendapat gelaran itu kerana dia sempat
belajar dengan SA’ID BIN MUSAYYIB, AL-QASIM BIN MUHAMMAD BIN ABI BAKAR,
SULAIMAN BIN YASAR dan URWAH BIN AL-ZUBAIR.
Dia dilahirkan di Madinah sebelum 70 Hijrah, iaitu di
era pemerintahan ABDULLAH BIN ZUBAIR menjadi khalifah.
Antara tempat yang dia pernah sampai adalah Madinah,
Hairah (Iraq), al-Kufah dan dia meninggal dunia di al-Hasyimiyyah (Iraq).
Dia diakui siqah oleh ramai ulama. Namun begitu, Abdul Mukmin bin Khalaf
al-Dimyati kata, dia selalu buat tadlis hadis. hal yang sama diakui oleh Ibn
al-Madini, tetapi dalam masa yang sama tetap akui bahawa dia seorang yang siqah
dan sabat dalam hadis.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, serta seorang
perawi siqah lagi sahih.
[3] MUHAMMAD BIN IBRAHIM AL-TAIMIY (45H-120H)
مُحَمَّدُ بْنُ
إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ
Nama penuhnya adalah MUHAMMAD BIN IBRAHIM BIN AL-HARIS
BIN KHALID BIN SAKHR BIN ‘AMIR BIN KA’AB BIN TAIM BIN MURRAH.
Ulama yang terkenal dengan kefaqihan dari Madinah ini
seangkatan dengan SALIM BIN ABDULLAH BIN UMAR BIN AL-KHATTAB dan NAFI’ (guru
Imam Malik).
Dia digelar AL-TAIMI kerana nisbah kepada keturunan
atuknya yang bernama TAIM BIN MURRAH.
Atuknya yang bernama AL-HARIS adalah sahabat Nabi;
salah seorang mujahirin awal.
Ahmad bin Hanbal kata, dia riwayatkan banyak
hadis-hadis mungkar.
Namun begitu, ramai ulama anggap dia adalah salah
seorang Tabiin yang siqah sepertimana diakui seperti Ibn Ma’in, Abu hatim dan
al-nasaie. Bahkan, Ibn Hajar al-Asqalani kata, dia adalah rijal al-Kutub
al-Sittah.
[2] ALQAMAH BIN WAQQAS AL-LAISI
عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ
اللَّيْثِيَّ
Nama penuh ulama
Madinah ini adalah ALQAMAH BIN WAQQAS BIN MUHSAN BIN KALDAH AL-LAISI.
Al-Asqalani kata, dia adalah tabiin besar. Namun, Ibn
mandah kata dalam al-Ma’rifah bahawa ‘Alqamah adalah sahabat. Hal ini kerana,
terdapat riwayat bahawa dia pernah berkata bahawa dia turut hadir perang
Khandaq.
Menurut kitab al-Isobah, dia meninggal di Madinah di
era pemerintahan ABDUL MALIK BIN MARWAN.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah serta seorang
perawi siqah lagi sahih.
[1] UMAR BIN AL-KHATTAB (40SH-23H)
عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ
Khalifah islam ke-2 ini, dilahirkan 27 tahun (ada
kata: 30 tahun) sebelum Kenabian. Dia memeluk Islam tahun ke-5 Kenabian.
KISAH KEISLAMAN
Dia masuk Islam ketika mendengar berita bahawa
adiknya, Fatimah dan adik iparnya, SAID BIN ZAID sudah memeluk Islam.
Semasa dia sampai ke rumah adik dan adik ipar, di situ
ada sahabat Nabi bernama KHABBAB.
Ketika Saidina Umar sampai, mereka sedang membaca
al-Quran. Umar masuk secara mengejut. Dia pun berkata: apa yang kamu baca yang
aku dengar tadi?
Khabbab berkata: mereka membaca Taha.
Sa’ad bin Zaid berkata pula: apa pandangan kamu wahai
Umar, jika kebenaran itu bukan pada agama kamu?
Umar marah lalu menumbuk adik iparnya itu. Lalu datang
adik perempuannya menghalang abangnya yang memukul suaminya. Lalu umar memukul
pula kepada adiknya.
Adiknya itu bercakap dalam keadaan marah: Aku bersaksi
tiada tuhan kecuali Allah. aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.
Apabila Umar mendengar itu, umar terdiam. Dia
seakan-akan terkejut. Dia pun berkata: berikan kepadaku kitab yang ada pada
kamu”.
Fatimah menjawab: kamu adalah najis. Tidak boleh
menyentuh al-Quran kecuali yang disucikan”.
Menurut sebilangan riwayat kata, Umar bangun mandi,
berwuduk dan datang semula mengambil al-Quran seraya membaca surah taha dari
awal sehingga sampai ayat:
إِنَّنِي أَنَا
اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي (14)
Ada riwayat lain kata, dia baca surah al-Hadid, dia
baca sampai kepada ayat:
آمِنُوا
بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ
فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ (7)
Kemudian, dia minta agar dia dibawa kepada Nabi
Muhammad saw.
Apabila dia di bawa keluar dari rumah Fatimah dan
Sa’ad bin Zaid, Khabbab yang ada di luar rumah itu nampak dan berkata bahawa
semalam dia mendenga Rasulullah saw bersabda:
عَنْ ابْنِ
عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
«اللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلَامَ بِأَحَبِّ هَذَيْنِ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ
بِأَبِي جَهْلٍ أَوْ بِعُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ» قَالَ: وَكَانَ أَحَبَّهُمَا
إِلَيْهِ عُمَر
“Ya Allah, muliakan
Islam dengan yang lebih Engkau kasihi dari dua orang lelaki ini—Abu Jahal atau
Umar bin al-Khattab. Berkata: antara dua ini yang paling Allah kasihi adalah
Umar” (al-Tarmizi, hadis no: 3681)
Saidina Umar kata kepada Khabbab: bawakan aku kepada
Muhammad saw.
Apabila sampai di tempat Nabi Muhammad, ketika itu di
rumah tersebut ada Saidina Hamzah. Saidina Hamzah berkata: “jika dia datang
dengan tujuan baik, kita akan akan sambut dia sepenuh hati. Jika dia bertujuan
jahat, kita akan bunuh dia dengan pedangnya sendiri”
Apabila dia masuk, dia perhati tajam pada Nabi saw.
Lalu Nabi saw bertanya: apa tujuan kamu datang, Wahai ibn Khattab. Aku tidak
nampak kecuali kamu datang dengan membawakan sesuatu yang berbahagia.
Kata Saidina Umar: aku datang kepada kamu untuk aku
beriman kepada Allah.
Dengan kemasukan Saidina Umar ke dalam islam, Ibn
Mas’ud kata:
كان اسلام عمر
فتحا وهجرته نصرا وإمارته رحمة, ولقد كنا وما نصلي عند الكعبة حتي أسلم عمر
“Islam saidina Umar itu
adalah kemenangan, hijrahnya itu satu pertolongan. Kepimpinannya adalah rahmat.
Sebelum ini, kami tidak dapat tunaikan solat di samping kaabah sehingga Umar
memeluk Islam.
KELEBIHAN UMAR:
Menurut Ibn Abbas:
عَنِ ابْنِ
عَبَّاسٍ، قَالَ: " لَمَّا أَسْلَمَ عُمَرُ، نَزَلَ جِبْرِيلُ فَقَالَ: يَا
مُحَمَّدُ، لَقَدِ اسْتَبْشَرَ أَهْلُ السَّمَاءِ بِإِسْلَامِ عُمَرَ"
“ketika Umar memeluk
Islam, Jibril turun dan berkata: Wahai Muhammad, penduduk langit memberi khabar
gembira berkenaan keislaman Umar” (Ibn Majah, hadis no: 103—doif jiddan. Sahih
Ibn Hibban, hadis no: 6883)
Antara ijtihad omar yang selaras dengan wahyu:
Pertama, Saidina Umar yang mula-mula mencadangkan agar
maqam Ibrahim dijadikan sebagai tempat solat.
Tidak lama kemudian, turun firman Allah;
وَإِذْ جَعَلْنَا
الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ
مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ
لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ (125) – البقرة
“Dan (ingatlah) ketika
Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk
Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu
tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
(dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam
dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan
orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang
rukuk dan sujud"
Kedua, Saidina Umar melihat ramai orang datang
berjumpa dengan Isteri Nabi. Justeru, untuk hindari dari sebarang fitnah, dia
telah mencadangkan agar para isteri nabi pakai hijab.
Tidak lama kemudian, turun firman Allah;
وَإِذَا
سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ
أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُؤْذُوا رَسُولَ
اللَّهِ وَلَا أَنْ تَنْكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِنْ بَعْدِهِ أَبَدًا إِنَّ ذَلِكُمْ
كَانَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمًا (53) – الأحزاب
“Dan apabila kamu
meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada
mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan
hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak
boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.
Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah”
Ketiga, ada suatu hari ada beberapa tindakan para
Isteri Nabi menyebabkan Nabi saw merajuk. Melihat keadaan itu, Saidina Umar
ugut agar Nabi saw ceraikan para isteri nabi dan nabi kahwin dengan perempuan
yang lebih baik.
Tidak lama kemudian, turun firman Allah:
عَسَى رَبُّهُ
إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ
مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا
(5) – الطلاق
“Boleh jadi, jika Nabi
menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih
baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat,
yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan
yang anak dara”
Keempat, selepas dari perang badar, Nabi saw bertanya
pendapat Abu Bakar berkenaan tawanan perang. Abu Bakar mencadangkan agar
tawanan itu dibayar tebus.
Apabila Nabi saw bertanya pendapat Saidina Umar, dia
mencadangkan agar dibunuh sahaja tawanan perang tersebut.
Nabi memilih pendapat Saidina Abu Bakar, tetapi tidak
lama kemudian turun ayat yang berpihak dengan pendapat saidina Umar. firman
Allah;
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ
يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا
وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (67) – الأنفال
“Tidaklah patut bagi
seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh
sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak
kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah),
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”
PEMBUNUHAN TERHADAP UMAR
Saidina Umar menjadi khalifah selama 10 tahun lebih,
iaitu bermula dari tahun 13 Hijrah sehingga 23 Hijrah.
Dia dibunuh pada tahun 23 Hijrah, iaitu ditikam oleh
Abu Lu’lu’ah.
Abu lu’lu’ah tikam Saidina Umar semasa solat subuh.
Selepas dia tikam saidina Umar, dia turut tikam pula 13 orang yang berada di
keliling saidina Umar. 7 orang dari kalangan mereka meninggal dunia. Selepas
itu, ia tikam dirinya sendiri sampai dia mati.
Selepas Umar ditikam, dia tanya: mana Abdul Rahman bin
Auf. Minta dia jadi imam solat Jemaah.
Kemudian, dia bertanya kepada anaknya, Abdullah bin Umar:
Siapa yang mahu membunuh aku?
Jawab Abdullah: Abu Lu’lu’ah.
Apabila Saidina Umar dengar itu, dia kata:
Alhamdulillah yang tidak jadikan aku dibunuh pada tangan orang yang mengucap
“la ilaha Illa Allah”.
Umar kata begitu, kerana Abu Lu’lu’ah adalah seorang
majusi atau Nasrani.
|
PENJELASAN SANAD |
Hadis ini ada tiga tabiin secara berturut, iaitu ‘ALQAMAH yang muridnya adalah MUHAMMAD BIN IRBAHIM yang muridnya adalah YAHYA BIN SAID AL-ANSARI.
No comments:
Post a Comment