Wednesday, June 15, 2022

HADIS 4

 

HADIS 4

 

قَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَأَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِيَّ، قَالَ:

 

وَهُوَ يُحَدِّثُ عَنْ فَتْرَةِ الوَحْيِ فَقَالَ فِي حَدِيثِهِ: "بَيْنَا أَنَا أَمْشِي إِذْ سَمِعْتُ صَوْتًا مِنَ السَّمَاءِ، فَرَفَعْتُ بَصَرِي، فَإِذَا المَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ جَالِسٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَرُعِبْتُ مِنْهُ، فَرَجَعْتُ فَقُلْتُ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي" فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ. قُمْ فَأَنْذِرْ} [المدثر: 2] إِلَى قَوْلِهِ {وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ} [المدثر: 5] فَحَمِيَ الوَحْيُ وَتَتَابَعَ

 

Ibnu Syihab (al-Zuhri) berkata: telah mengkhabarkan kepadaku Abu Salamah bin Abd Al-Rahman bahawa Jabir bin Abdullah Al-Ansari bertutur mengenai masa jarak (turunnya) wahyu, sebagaimana yang Rasulullah saw ceritakan:

 

"Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar suara dari langit, lalu aku memandang ke arahnya dan ternyata ia adalah malaikat yang datang kepadaku di gua Hira—ia sedang duduk di atas kursi antara langit dan bumi. Aku pun ketakutan dan pulang, dan berkata: "Selimuti aku. Selimuti aku". Allah pun menurunkan wahyu: (Wahai orang yang berselimut, bergegaslah dan beri peringatan) sampai firman Allah (dan segala kejahatan, maka tinggalkanlah). Semenjak itu wahyu terus turun berkesinambungan".

 

تَابَعَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، وَأَبُو صَالِحٍ، وَتَابَعَهُ هِلاَلُ بْنُ رَدَّادٍ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، وَقَالَ يُونُسُ، وَمَعْمَرٌ بَوَادِرُهُ

 

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abdullah bin Yusuf dan Abu Soleh juga oleh Hilal bin Raddad dari Al-Zuhri. Dan Yunus berkata: dan Ma'mar sepakat bahawa dia mendapatkannya dari Al-Zuhri.

 

PENJELASAN SANAD

 

[1] KESINAMBUNGAN SANAD

 

Sanad Hadis ini adalah kesinambungan dari hadis ke-3. Iaitu, dalam sanad hadis ke-3 adalah seperti berikut;

 

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنْ عَائِشَةَ

 

Dalam sanad hadis ke 3, IBN SHIHAB ambil hadis dari URWAH BIN AL-ZUBAIR. Adapun pada sanad hadis ke-4 ini pula, IBN SHIHAB ambil hadis dari ABU SALAMAH. Yang kemudian, ABU SALAMAH ambil dari sahabat Nabi yang terkenal, iaitu JABIR BIN ABDILLAH AL-ANSARI.

 

[2] MUTABA-AH

 

Walaupun hadis ini sudah sahih, al-Bukhari tetap mendatangkan dua mutaba-ah pada hadis ini, iaitu jika dalam sanad yang lepas, yang ambil dari AL-ZUHRI adalah UQAIL. Rupa-rupanya, ada dua Mutaba-‘ah lagi;

 

PERTAMA: ada tiga lagi orang yang ambil hadis ini dari al-Zuhri, iaitu ABDULLAH BIN YUSUF, ABU SOLEH dan HILAL BIN RADDAD.

 

KEDUA: YUNUS pula kata bahawa dia dan MA’MAR turut sama ambil dari AL-ZUHRI.

 

[3] ABU SALAMAH

 

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, Abu Salamah dalam sanad hadis ini adalah ABU SALAMAH BIN ABD AL-RAHMAN BIN AUF (22H-94H), iaitu anak kepada seorang sahabat Nabi yang terkenal, iaitu Abdul Rahman bin Auf.

 

Tidak diketahui nama sebenarnya, kerana terdapat beberapa riwayat menyatakan bahawa Namanya adalah Abdullah; ada pula riwayat lain kata, namanya adalah ismail.

 

Beliau merupakan salah seorang dari tujuh orang fuqaha’ Madinah pada era Tabiin serta sempat menjadi qadhi di Madinah, iaitu bermula tahun 48H sehingga 54H; dia dilantik oleh Sa’id bin al-As yang ketika itu merupakan Gabenor Madinah. Dia berhenti menjadi Qadhi selepas Sa’id bin al-As dilucutkan jawatannya.

 

Dia adalah Rijal Kutub al-Sittah.

 

[4] JABIR BIN ABDILLAH AL-ANSARI (16SH-78H)

جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ

 

Beliau adalah salah seorang sahabat ansar dari kabilah khazraj.  Bapanya bernama Abdullah bin amru—mati Syahid dalam perang Uhud. Ibunya bernama nusaibah. Ada dakwaan mengatakan nama ibunya pun Unaisah binti Aqabah.

 

Beliau memeluk agama Islam semasa kecil lagi. Iaitu ketika bersama dengan bapanya hadir dalam Bai'ah Aqabah ke 2.

 

Beliau tidak terlibat perang Badar dan Uhud sebab bapanya minta beliau jaga 9 orang adik perempuannya. Selepas bapanya meninggal dunia, beliau tidak pernah terlepas dari terlibat dengan perang.

 

Setelah kewafatan Nabi, Beliau terlibat dalam pembukaan syam bersama Khalid bin Al-Walid. Semasa perang Siffin pula, beliau berpihak kepada Saidina Ali.

 

Beliau pernah menjadi mufti di Madinah. Beliau dikatakan sahabat terakhir mati di Madinah. Ada dakwaan kata, sahabat yang terakhir mati di Madinah adalah Sahal bin Sa'ad.

 

Ada dakwaan mengatakan, sebelum meninggal dunia, dia berwasiat agar mayatnya tidak disolatkan oleh Hajjaj Yusuf As-Saqafi. Antara yang menunaikan solat jenazah kepadanya adalah Anak Saidina Osman, iaitu Aban bin Osman bin Affan.


HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-3, dijelaskan bahawa nabi saw mendapat wahyu Iqra’ dengan bertemu dengan Jibril.

 

Dalam hadis ke-4 ini pula, dijelaskan berkenaan Nabi saw mendapat wahyu selepas Iqra’, iaitu awal surah al-Mudassir pula.

 

PENJELASAN HADIS

 

[1] Hadis ini menjelaskan bahawa selepas Nabi diturunkan beberapa ayat dalam surah Iqra’, Nabi diturunkan pula beberapa ayat dalam surah al-Mudassir.

 

[2] Kalau di gua Hira’, Jibril datang dalam berupa dengan manusia. Pada kali ini, ia diturunkan dengan cara berupa dengan rupa manusia juga. Namun, kali ini bahawa Jibril berada di tengah-tengah antara langit dan bumi.

 

[3] Hal itu dilihat oleh Nabi sehingga lahir ketakutan pada diri Nabi sehingga Nabi saw kesejukan yang menyebabkan apabila nabi saw pulang, baginda minta diselimutkan.

 

[4] Semasa Nabi berada dalam selimut, ketika itu Nabi saw diturunkan 5 ayat dari Surah al-Mudassir berikut;

 يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (1) قُمْ فَأَنْذِرْ (2) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (3) وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (4) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (5) – المدثر

  

[5] Ibn Hajar ada menukilkan satu kisah berikut:

 

Mula-mula sekali Nabi nampak Jibril adalah di bukit Ajyad, iaitu Jibril memanggil Nabi: wahai Muhammad.

 

Lalu, nabi saw pun melihat ke kanan dan ke kiri. Namun, nabi tidak nampak.

 

Nabi pun angkat pandangannya ke atas, ketika itu nabi saw nampak Jibril berada di ufuq langit.

 

Jibril pun berkata: Wahai Muhammad, ini Jibril. Ini Jibril.

 

Nabi pun lari sehingga nabi masuk dalam kalangan orang ramai. Kemudian Nabi keluar dari mereka, lalu Jibril memanggil lagi. Sekali lagi Nabi lari. Kemudian, Jibril pun memberitahu dari pihak Hira’. Lalu di situ, diajar kepada Nabi Iqra’. Ketika itu, dikatakan Nabi saw nampak Jibril dalam rupa yang sebenar yang mempunyai dua sayap dari yaqut yang pancaran cahayanya sehingga memancar mata.

وَكَانَ أَوَّلُ مَا رَأَى جِبْرِيلَ بِأَجْيَادٍ صَرَخَ جِبْرِيلُ يَا مُحَمَّدُ فَنَظَرَ يَمِينًا وَشِمَالًا فَلَمْ يَرَ شَيْئًا فَرَفَعَ بَصَرَهُ فَإِذَا هُوَ عَلَى أُفُقِ السَّمَاءِ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ جِبْرِيل جِبْرِيلُ فَهَرَبَ فَدَخَلَ فِي النَّاسِ فَلَمْ يَرَ شَيْئًا ثُمَّ خَرَجَ عَنْهُمْ فَنَادَاهُ فَهَرَبَ ثُمَّ اسْتَعْلَنَ لَهُ جِبْرِيلُ مِنْ قِبَلِ حِرَاءَ فَذَكَرَ قصَّة اقرائه اقْرَأ باسم رَبك وَرَأَى حِينَئِذٍ جِبْرِيلَ لَهُ جَنَاحَانِ مِنْ يَاقُوتٍ يختطفان الْبَصَر

 

Kata Ibn Hajar, bahawa ini adalah riwayat Ibn Lahi’ah yang dia ambil dari Abu al-Aswad, sedangkan Ibn Lahi’ah adalah DOIF.


PENGAJARAN

 

[1] NABI SAW JUGA ADA PERASAAN TAKUT

 

Nabi saw adalah manusia sepertimana manusia lain. Ekoran itu, Nabi saw juga ada perasaan takut. Firman Allah:

 

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا (110) - الكهف

 

Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa Nabi saw adalah manusia biasa. Namun, perbezaan Nabi dari manusia lain adalah, baginda diberikan wahyu oleh Allah, sedangkan orang lain tidak diberikan wahyu.

 

Dari ini juga, sudah pasti menolak dakwaan orang kafir yang mahu Nabi itu bukan dari kalangan manusia. Firman Allah:


 وَقَالُوا مَالِ هَذَا الرَّسُولِ يَأْكُلُ الطَّعَامَ وَيَمْشِي فِي الْأَسْوَاقِ لَوْلَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ فَيَكُونَ مَعَهُ نَذِيرًا (7) – الفرقان

 

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا إِنَّهُمْ لَيَأْكُلُونَ الطَّعَامَ وَيَمْشُونَ فِي الْأَسْوَاقِ وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرًا (20) وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا لَوْلَا أُنْزِلَ عَلَيْنَا الْمَلَائِكَةُ أَوْ نَرَى رَبَّنَا لَقَدِ اسْتَكْبَرُوا فِي أَنْفُسِهِمْ وَعَتَوْا عُتُوًّا كَبِيرًا (21)  - الفرقان

 

[2] DAKWAAN NABI BUNUH DIRI

 

Jika dilihat dalam hadis ke- 6982 (al-Bukhari), ada dijelaskan berkenaan fasa Nabi saw tidak mendapat wahyu dalam jangka jarak antara penerimaan surah Iqra’ dan al-Mudassir ini seperti berikut;

 

ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُوُفِّيَ، وَفَتَرَ الوَحْيُ فَتْرَةً حَتَّى حَزِنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فِيمَا بَلَغَنَا، حُزْنًا غَدَا مِنْهُ مِرَارًا كَيْ يَتَرَدَّى مِنْ رُءُوسِ شَوَاهِقِ الجِبَالِ، فَكُلَّمَا أَوْفَى بِذِرْوَةِ جَبَلٍ لِكَيْ يُلْقِيَ مِنْهُ نَفْسَهُ تَبَدَّى لَهُ جِبْرِيلُ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ حَقًّا، فَيَسْكُنُ لِذَلِكَ جَأْشُهُ، وَتَقِرُّ نَفْسُهُ، فَيَرْجِعُ، فَإِذَا طَالَتْ عَلَيْهِ فَتْرَةُ الوَحْيِ غَدَا لِمِثْلِ ذَلِكَ، فَإِذَا أَوْفَى بِذِرْوَةِ جَبَلٍ تَبَدَّى لَهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ لَهُ مِثْلَ ذَلِكَ

kemudian tak berselang lama Waraqah meninggal dan wahyu berhenti beberapa lama hingga Nabi saw sedih.

 

Berdasarkan berita yang sampai kepada kami (Ibn Shihab al-Zuhri):  kesedihan yang baginda alami sedemikian rupa, hingga baginda beberapa kali ingin bunuh diri dengan cara terjunkan diri dari puncak gunung, setiap kali baginda naik puncak gunung untuk menerjunkan dirinya, Jibril menampakkan diri dan mengatakan: “Wahai Muhammad, sesungguhnya engkau betul-betul Rasulullah!”. Nasihat ini menjadikan hati baginda lega dan jiwanya tenang dan pulang. Namun jika sekian lama wahyu tidak turun, jiwanya kembali tergoncang, dan setiap kali ia naik puncak gunung untuk bunuh diri, Jibril menampakkan diri dan menasihati semisalnya. (al-Bukhari, hadis no: 6082)

 

Dalam hadis ini, ada bercampur antara perkataan AISYAH dan perkataan PERAWI, iaitu AL-ZUHRI.

 

Dalam hadis ke-3 (al-Bukhari) dan ke-4953 (al-Bukhari), ada dijelaskan bahawa berlaku terhenti wahyu selepas dari pertemuan antara Nabi saw dan Waraqah. Tetapi, dalam hadis ke-6982 (al-Bukhari) dan  hadis ke- 4953 (al-Bukhari), ada dijelaskan bahawa AISYAH menceritakan bahawa Nabi bersedih, sedangkan dalam riwayat selain itu, tidak dijelaskan Nabi bersedih.

ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُوُفِّيَ، وَفَتَرَ الوَحْيُ فَتْرَةً، حَتَّى حَزِنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

Walaubagaimana pun, dalam hadis ke-6982, AL-ZUHRI ada memberi komentar bahawa Nabi saw mahu membunuh diri, tanpa diberikan sumber al-Zuhri itu ambil dari siapa.

 

Perlu diperjelaskan bahawa dakwaan Nabi saw mahu membunuh diri bukan perkataan Aisyah, tetapi ia adalah komentar dari AL-ZUHRI sahaja. Hal ini, dalam matan itu ada menyebut:

 

فِيمَا بَلَغَنَا

“berdasarkan apa yang sampai kepada kami”

 

Dengan perkataan lain, dakwaan bahawa Nabi mahu membunuh diri adalah bukan hadis, tetapi tasarruf al-Rawi (al-Zuhri) sahaja yang tidak disandarkan penceritaan itu diambil dari mana-mana sahabat pun.

 

 

 

 

HADIS 6

  HADIS 6   حَدَّثَنَا عَبْدَانُ ، قَالَ: أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ قَالَ: أَخْبَرَنَا يُونُسُ ، عَنِ الزُّهْرِيِّ ، ح و...